Name:
Location: seremban, N9, Malaysia

Pengembara yg mencari sinar Haqiqi

22.11.08

Puteri Ku Sayang

Nasihat dan Bimbangan untuk Putera Puteriku.

Oleh: Syeikh Ali Thantawi

Pendahuluan


Dengan nama Allah, Segala pujian adalah untuk Allah s.w.t., selawat serta salam kita ucapkan kepada Rasulullah s.a.w.
Enam puluh tahun saya berpidato dan menulis belum pernah saya mendapat perhatian melebihi penulisan ini, terutamanya mengenai “Wahai Puteriku”, yang saya tulis pada tiga puluh tahun yang lalu.

Ketika itu umurku menjangkau setengah abad.Sekarang seperti yang telah tercatat, sudah empat puluh enam kali karya ini dicetak dan entah berapa kali pula yang saya tidak ketahui. Saya mohon kepada Allah agar mengurniakan kesihatan dan husnul khotimah. Juga agar niat saya menulis untuk berdakwah ini, diberi curahan pahala oleh Allah s.w.t. Saya mengharapkan para pembaca mengucapkan "amin".

Dewasa ini kita diserang dari dua jalan iaitu Jalan Syubhat (perkara yang meragukan) dan Jalan Syahwat. Penyakit syubhat adalah penyakit yang lebih parah dan lebih besar bahayanya. Penyakit ini menular dengan lambat dan tidak semua orang mampu menerimanya. Pemuda dan remaja yang dibangkitkan oleh nafsu syahwatnya menerusi jalan syubhat ini akan terus menyambut dan menerimanya.

Manakala penyakit syahwat adalah penyakit yang cepat menjalar dan meluas. Tingkatan bahayanya adalah terbatas pada menyusahkan. Penyakit ini tidak memusnahkan dan mematikan. Manakala penyakit syubhat boleh membawa kepada kekufuran dan boleh merosakkan malah terus membinasakan penghidapnya.Dari tulisan pertama tiga puluh tahun yang lalu dan kemudian diulang cetak sehingga sekarang ini, tiada satu huruf pun yang saya ubah, ia tetap dengan keasliannya. Kerana, apa yang ada itu telah tersebar luas, dibaca oleh orang-orang di Barat ataupun di Timur. Selain dari tulisan asalnya iaitu bahasa Arab, juga diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Urdu.Akhirnya, saya memohon keampunan dari Allah.

12 Rabiulawwal 1406H
Syeikh Ali Thantawi

KEPADA PUTERIKU

Wahai puteriku ...

aku seorang bapa yang sedang berjalan memasuki usia lima puluh tahun.1Usia muda telah aku lewati, aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan Haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku ...
banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun, tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya. Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu pun negara Islam yang mampu mengelaknya.

Sebagai contoh Negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang Masya-Allah!!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukan engkau apa penyebabnya?

Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.

Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau meyakininya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik.Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri: "Silakan masuk".. dan setelah kecurian barulah tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak .. "Tolong.. tolong.. aku kecurian."Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diingini oleh seorang lelaki adalah lebih dari itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar daging kambing.. Dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu. Lelaki mengkehendaki yang paling berharga darimu... iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku..

demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian. Aku bersumpah lagi: "Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti seorang sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab". Bohong..bohong.. bohong..Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu.

Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal. Apakah sesudah itu wahai puteriku? Renungkanlah! Kamu berdua, bersama-sama berasmara, menikmati kelazatan yang hanya sebentar kau rasakan… sesudah itu, dia lupa dan pergi meninggalkan engkau. Dan engkau… Akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya. Dia pergi dengan diam-diam meninggalkanmu, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya. Sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, engkau perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal di perutmu. Engkau sedih dan muram. Engkau bingung dan gelisah. Lelaki yang membesarkan perutmu itu tidak dituntut atau dihukum oleh masyarakat yang zalim, bahkan..diberikan keampunan dan dibiarkan bebas dengan alasan: "Dia yang dahulu sesat, tetapi sekarang sudah bertaubat".Tapi engkau...? Engkau akan terus kecewa dan terus dihina sepanjang usiamu. Masyarakat tidak akan mengampuni dosamu.

Seandainya ketika dia mula merayumu, engkau menolak dengan sikap yang tegas. Engkau alihkan pandanganmu dari pandangannya… Seandainya sikapmu itu tidak menghentikan usahanya, malah dia bersikap lebih biadap dengan mengucapkan kata-kata yang jelik dan menggunakan tangannya, cepat-cepat engkau tanggalkan kasut dari kakimu dan pukullah kepalanya..kalau engkau lakukan itu, pasti semua orang yang ada di sekitar tempat itu akan serentak menolongmu. Sesudah itu.. dia akan ngeri mengganggu wanita terhormat di jalan.

Wahai puteriku...

Lelaki yang baik dan soleh, akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia datang untuk meminang dan mengahwinimu.

Seorang gadis betapa pun tinggi kedududkannya, betapa pun banyak hartanya, betapa pun hebat kebenaran dan pengaruhnya, dia pasti mempunyai cita-cita: ‘Mencapai kebahagiaan yang tinggi iaitu bersuami, menjadi isteri yang solehah, terhormat dan ibu rumahtangga yang baik.’ Cita-cita seperti itu pasti diharapkan oleh semua wanita tak kira sama ada dia seorang ratu, keluarga raja, bintang filem Hollywood ataupun wanita biasa. Aku mengenali dua orang sasterawati Mesir dan Syria. Kedua-duanya bergelar tokoh. Ilmunya dikagumi, kekayaannya melimpah ruah, tinggi kedudukan dan kehormatannya. Kedua-duanya telah kehilangan suami, namun.. tiba-tiba hilang keseimbangan akalnya… Dan menjadi gila, tak perlu aku sebutkan namanya, pasti semua orang Mesir dan Syria sudah mengenalinya.

Perkahwinan adalah cita-cita paling tinggi bagi wanita. Jawatan wanita yang paling tinggi sama ada sebagai anggota parlimen, menteri atau bahkan sebagai presiden, tahapnya tetap berada di bawah perkahwinan. Lelaki, pada dasarnya akan mencari wanita terhormat dan bukan wanita jalang atau rosak akhlaknya. Seandainya seorang lelaki bertunang dengan wanita yang baik tetapi wanita itu tiba-tiba berubah akhlaknya, menyeleweng dan masuk ke dalam perangkap nista, pasti dengan segera lelaki itu pergi meninggalnya.

Dia akan tetap melangkah keluar. Lelaki yang baik, pasti tidak rela melihat anaknya keluar dari rahim ibu yang keji dan apatah lagi untuk membesarkan dan memelihara anaknya.

Seorang pemuda jalang yang bejat dan menjijikkan, apabila tidak mendapati mangsa gadis yang mahu mengorbankan kehormatan dirinya di bawah tapak kakinya dan menjadi alat permainannya… dan apabila dia juga tidak memperolehi wanita pelacur dan gadis lalai yang rela dikahwini dengan agama syaitan dan iblis serta mengikut syariat binatang, pasti dia akan mencari jodoh dengan seorang isteri yang perlu dinikahi dengan landasan sunnah dan syariat Islam.

Puteriku, suasana sepi dan lesunya pasar pernikahan dan perkahwinan, penyebabnya adalah kerana kesalahanmu sendiri. Jatuhnya pasaran dan nilai perkahwinan dan semakin pesat bursa pelacuran juga adalah kerana perbuatanmu! Lantas, kenapa kamu yang berakhlak mulia tidak mencegahnya? Kenapa para wanita yang berakhlak mulia dan terhormat tidak memerangi musibah dan wabak itu?

Kamu, para wanita tentu lebih berkebolehan dan berkemampuan bertindak daripada kaum lelaki. Kamu sebagai wanita terhormat, mulia, memiliki harga diri dan memegang teguh agama, pada akhirnya akan menjadi mangsa dan korbannya. Hampir di setiap rumah di negeri Syam terdapat gadis-gadis pada usia yang layak berkahwin belum mempunyai calon dan gadis yang sudah lewat usianya belum juga bersuami. Para pemudanya merasa puas dengan hanya berpacar-pacaran (couple) dan bergaul bebas daripada beristeri. Mungkin keadaan seperti ini juga terdapat di negara-negara Islam yang lain.

Wahai puteriku…….

1. Dirikanlah wadah dalam bentuk lembaga dan persatuan dari kalangan kamu sendiri yang anggotanya terdiri daripada para cendiakawan, guru dan mahasiswa. Wadah yang berusaha untuk mengembalikan wanita-wanita sesat kepada jalan kebenaran.Ancam dan takutkan mereka dengan firman-firman Allah.

Sekiranya mereka tidak mahu mendengar dan tidak rasa takut lagi, maka berilah gambaran bahaya penyakit yang akan dideritainya.Kalau mereka tidak juga peduli, berikan penjelasan dan contoh-contoh kenyataan yang ada, katakan kepada mereka:“Anda remaja cantik, ramai pemuda yang tertarik dan mengharapkan anda. Kecantikan anda seperti sekarang ini apakah akan terus bertahan?Bagaimana nasib anda nanti setelah tua? Ketika muka anda sudah kerepot dan badan membongkok? Siapakan ketika itu akan menguruskan anda? Siapakah pada ketika itu akan memperhatikan nasib anda? Tahukah anda, siapa yang akan menghormati dan memuliakan orang tua yang tidak berdaya lagi? Hanya anak dan cucu-cucunya! Di tengah-tengah mereka, orang tua sepertinya menjadi ratu di antara rakyat, bermahkota, duduk di singgahsana.Bagaimana nasib anda nanti jika terus begini?Bagaimana derita anda di kemudian hari? Anda lebih tahu dari kami.

2. Cuba anda renungkan "Apakah boleh disamakan lazatnya perhubungan yang sebentar sahaja nikmatnya itu dengan penderitaan-penderitaan anda?Apakah patut, harga kegadisan anda dibayar begitu murah dan penderitaan anda setelah itu ditebus dengan harga sebegitu mahal?Saya rasa, anda cukup mampu mengarahkan dan memberikan petunjuk pada kawan-kawan yang sesat dan perlu dikasihani. Saya tidak perlu berlama-lama memberi bimbingan kata kepada anda. Saya yakin anda sendiri tentu telah mempunyai banyak bahan untuk melakukan penyelamatan.

Sekiranya segala usaha penyelamatan yang dilakukan kepada mereka tidak membawa hasil. Ya cukuplah…… anda perlu menukar sasaran. Lakukan penyelamatan kepada mereka yang belum terkena. Cegah mereka dari penyakit menular itu. Pada umumnya, penyakit seperti itu mudah menyerang wanita-wanita lalai dan gadis yang menginjak dewasa. Bimbinglah mereka agar tidak tersesat jalan.Apa yang anda lakukan adalah secara bertahap. Saya tidak mengharapkan anda mengajak para wanita Islam melakukan perubahan drastik, sekali nasihat terus menjadi muslimah sejati. Segalanya hendaklah dengan wajar, perlahan dan mencapai sasaran.Biasanya adalah mustahil dengan memberi sekali kefahaman kemudian dapat mengubah haluan

3. Kembalikanlah dia kepada kebaikan selangkah demi selangkah, sebagaimana dia sebelumnya sedikit demi sedikit menuju kepada kejahatan. Kamu semua sedikit demi sedikit memendekkan pakaian, di kaki dan di tangan. Kemu juga menipiskan kain tudung. Dan prosesnya berjalan perlahan-perlahan selama berabad-abad. Sebaliknya, kaum lelaki tidak melihat dan merasakan perubahan itu seperti apabila kita perhatikan jam dinding, kita dapat lihat jarum pendek seolah-olah tidak bergerak. Tetapi apabila anda datang setelah dua jam anda akan melihat jarum itu bergerak. Begitu juga peralihan dari masa kanak-kanak menjadi remaja dan usia muda kepada usia tua, seolah-olah tidak boleh diikuti dengan pancaindera. Demikianlah juga berubahnya satu umat manusia, dari satu keadaan kepada keadaan lain yang berlaku secara berperingkat.

Majalah dan suratkhabar perosak akhlak terus beredar dan semakin meluas. Para penganjur kerosakan moral bersorak gembira kerana berjaya meraih kemenangan besar dalam pertandingan. Kini, kita telah sampai pada batas yang tidak lagi diredhai Islam. Jika anda membaca sejarah, anda tidak akan menemui keadaan seperti ini. Bahkan kaum majusi pun tidak mengenali kebebasan yang sedemikian. Binatang yang tidak mempunyai akal pun, tidak sehina manusia masa kini. Dua ayam jantan akan bersabung mempertaruhkan nyawa untuk berebut ayam betina demi menjaga kehormatannya. Tetapi manusia, dengan dalih kebebasan mengorbankan harga dirinya. Dijual dengan harga yang murah, tubuh dan kehormatannya. Kita ambil contoh yang dekat sahaja, tak perlu melangkah jauh ke negara-negara Barat. Kita pergi ke pantai dan lihat betapa wanita-wanita muslimah mempertontonkan tubuhnya. Hampir seluruh tubuhnya diperlihatkan. Kecuali dua bahagian yang tertutup. Malah ada yang lebih berani membuka bahagian atasnya. Tontonan seperti itu ada di mana-mana. Di negara muslim atau di negara yang majoritinya muslim. Di tempat pesta atau kelab malam di mana keluarga "moden" datang, menari berganti pasangan, saling bertukar isteri untuk bergoyangan dan berpelukan, berhimpitan dada, perut dan bergenggam tangan.

Tidak ada perasaan malu dan memberi harga kepada diri mereka sendiri. Di sekolah atau di universiti, terdapat juga pergaulan bebas. Para puteri membuka sebahagian aurat tanpa pencegahan ibubapanya. Contoh-contoh seperti yang disebutkan itu hanyalah sebahagian dari fenomena yang berlaku. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang beraneka ragam yang pasti anda juga melihatnya. Semua itu tak mungkin diubah sekelip mata. Maka kita memerlukan cara khusus dan proses waktu untuk menghilangkannya. Jalan yang tepat yang perlu ditempuhi adalah kembali kepada hak dan kebenaran dengan melalui jalan yang boleh membawa kepada kebaikan. Jalan yang tepat yang perlu ditempuhi adalah kembali kepada hak dan kebenaran dengan melalui jalan yang boleh membawa kepada kebaikan. Jalan tersebut memang memakan masa yang lama dan lambat. Tetapi itulah satu-satunya jalan yang mesti dilalui.

Usaha awal kita ialah membanteras pergaulan bebas dan pembukaan aurat. Bagi wanita yang bergaul bebas tetapi masih memakai tudung dan menutup aurat, penggarapannya lebih mudah. Mereka yang bertudung diusahakan agar bertudung dan pakaian muslimah yang dipakainya tidak diniatkan untuk meningkatkan kecantikan dan menggoda lelaki.

Perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai pergaulan bebas adalah:

Seorang wanita menerima tetamu lelaki di rumahnya.

Manakala di tempat umum, berjabat tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Bersama-sama pergi atau pulang dari sekolah (kuliah, berbual secara bebas, berkumpul dengan dalih belajar bersama).

Semua itu tergolong dalam pergaulan bebas. Dan ni merupakan sumber malapetaka kehancuran akhlak. Cara pergaulan seperti itu dianggapnya biasa. Dia lupa bahawa Allah menciptakannya sebagai wanita dan yang lain ialah lelaki. Masing-masing mempunyai kecenderungan dan daya tarikan. Tidak ada satu makhluk di muka bumi ini yang dapat mengubah ciptaan Allah atau membuat persamaan di antara keduanya ataupun menghilangkan kecenderungan (hasrat) dari pihak masing-masing.Wanita-wanita menganjurkan persamaan hak dan pergaulan bebas, menuntut persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan zaman adalah pembohongan besar.

Mereka sebenarnya hanya mencari kepuasan nafsu sahaja. Mereka beranggapan, bahawa kaum lelaki lebih mendapat kenikmatan daripada wanita. Kerana itu mereka berusaha untuk merasakan kenikmatan itu. Mereka tidak berani untuk menyatakan secara terang-terangan. Mereka menyembunyikan hasrat itu dan yang ditonjolkan ialah isu ‘tuntutan zaman’, ‘seni dan budaya’, ‘kehidupan kampus’, ‘alam mahasiswa atau pelajar’, ‘semangat kesukanan’. Mereka gembar-gemburkan perkara ini seperti suara beduk kosong yang tidak membawa sebarang pengertian. Hak yang mereka tuntut adalah batil. Mereka menjadikan Amerika & Eropah sebagai kiblat dan pemimpin kemajuan.

Apa-apa pun yang datang dari sana maka itu adalah baik dan tepat. Eropah mengirimkan tarian,diterima! Mengirimkan model pakaian telanjang, ditiru! Percampuran bebas di kampus, mempertontonkan paha dan dada di kolam renang dan tepi pantai dipandang wajar. Sebaliknya, yang datang dari timur dipandang jelik dan batil, walaupun itu adalah pancaran dari masjid, bimbingan dan tuntutan agama, kehormatan dan harga diri, kebersihan dan kemuliaan jiwa, hati dan jasmani serta penutupan aurat sebagai pelindung dan harga peribadi muslimah.Kita sebagai orang timur menerima mentah-mentah apa yang datang dari barat. Tapi sebahagian orang barat menolak ‘produknya’ sendiri. Masyarakat Eropah dan Amerika, sebahagiannya menolak pergaulan bebas. Mereka sangat menjaga pergaulan anak-anaknya. Di Paris, kebanyakkan orang tua melarang puterinya keluar bersama pemuda untuk ke pawagam misalnya.

Ada juga yang muak bila menonton filem lucah. Di Amerika, ramai orang tua yang memilih sekolah khusus untuk puteri, untuk anak-anak gadisnya. Mereka takut untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah yang bercampur dengan pemuda. Mereka juga mengawal jika puteri-puterinya pergi berenang. APAKAH PERGAULAN BEBAS DAPAT MEMBENDUNG GELOJAK NAFSU SYAHWAT? Mereka menjawab: "Boleh! Pergaulan bebas boleh mengurangkan atau memadam api nafsu yang membara, boleh mendidik untuk berlaku sopan dan berbudi pekerti ‘mulia’ dan boleh mengurangkan gelojak dorongan nafsu.

Jawapan itu kita dikembalikan kepada mereka yang telah mempraktikkannya. Kita tanyalah kepada pelajar sekolah yang bercampur dan sekolah yang berasingan di antara kedua-dua jantina ini. Rusia, negara yang tidak mengenali agama dan tidak pernah mendengar nasihat-nasihat ulama, paderi atau pendita kini mengubah haluan setelah melihat kesan negatif dari pergaulan bebas. Amerika, negara yang dijadikan kiblat kemajuan, telah dipeningkan oleh siswi-siswi hamil yang jumlahnya terus meningkat. Lalu, di manakah buktinya yang nyata jika pergaulan bebas akan memberikan jawapan seperti di atas? Dan siapa yang selesa melihat kesulitan seperti di Amerika itu terjadi di negara kita?

Apa yang aku tulis ini bukanlah ditujukan kepada pemuda. Para pemuda pasti menolak dan mengambil mudah pendapatku. Kerana aku mengharamkan apa yang menurut mereka enak dan lazat. Aku hanya berbicara kepada engkau wahai puteri-puteriku yang suci, mulia dan terhormat.

Kerana engkaulah yang bakal menerima akibat, Engkau yang bakal menjadi korban kepada pengikut-pengikut iblis. Janganlah engkau mudah menerima pandangan orang-orang yang berdalih dengan "Persamaan dan Kebebasan", "Kemajuan dan Modenisasi", "Kebudayaan dan Kesenian", "Kehidupan Kampus", "Alam Pelajar dan Mahasiswa". Orang-orang seperti itu kebanyakkannya tidak mempunyai mempunyai isteri atau anak. Mereka hanya akan menjilat dan mengemam kelazatan untuk seketika, kemudian berlalu pergi meninggalkan engkau.

Aku, adalah ayah kepada beberapa orang puteri. Aku menulis pesanan ini bererti aku juga membela kepentingan puteriku sendiri. Aku menghendaki yang baik kepada kamu, sebagaimana aku menghendaki yang baik pula kepada anak-anakku. Mereka, para pemuda pengikut iblis tidak akan berfikir sedikitpun tentang nasibmu yang hilang kehormatan dan harga diri. Mereka tidak akan menyesali perbuatannya yang telah membawa engkau kepada kehinaan dan nama baikmu yang telah ternoda. Apabila itu terjadi pada dirimu, apakah terbukti segala ungkapan manis itu?

Pasti tidak seorangpun akan datang membantumu. Mereka akan datang, jika engkau masih boleh dinikmati. Tapi, sekiranya engkau sakit atau kecantikkanmu menjadi pudar, mereka akan pergi seperti perginya kerumunan anjing yang kehabisan daging bangkai.

Wahai Puteriku,

Itulah nasihatku yang hak dan benar, Mudah-mudahan engkau mahu mendengar. Jangan engkau dengar ungkapan yang lain, Yang mengajak kepada kelalaian. Hanya di tanganmu wahai puteriku, Bukan di tangan kami kaum lelaki.
Hanya di tanganmu sahaja kunci pintu kebaikan.

Sekiranya engkau mahu memperbaiki dirimu, Maka pasti seluruh umat akan menjadi baik.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home