Name:
Location: seremban, N9, Malaysia

Pengembara yg mencari sinar Haqiqi

22.11.08

Putera Ku Sayang

sambungan nasihat Sheikh Ali Thantawi

KEPADA PUTERAKU

Tulisan di bawah ini adalah jawapan kepada surat seorang pemuda bernama MA, berasal dari Ismailiyah, Mesir. Dia meminta agar aku menjawab suratnya dan menyebarkannya di media massa. Surat itu aku terima pada tahun 1955 dan pada tahun yang sama aku jawab dan aku sebarkan.

Puteraku,

Kenapa engkau menulis surat itu dengan perasaan ragu dan main-main? Apakah engkau saja yang mempunyai perasaan seperti itu.Puteraku, getaran dan godaan perasaan yang disebabkan oleh membaranya nafsu syahwat bukan engkau saja yang merasakannya. Perkara itu adalah penyakit umum para remaja. Tenangkan hatimu, keluhan itu bukan hanya engkau saja yang merasakannya.

Puteraku, usiamu yang baru menjangkau tujuh belas tahun, tetapi seringkali engkau tidak dapat tidur kerana godaan seksual. Sebenarnya godaan seperti itu turut dirasakan oleh orang-orang lain, muda mahu pun tua.Orang yang kurang merasakan nikmatnya tidur adalah seperti murid yang mengabaikan pelajaran, seorang yang melalaikan pekerjaan atau perniagaannya. Syair dan pantun yang ditulis oleh para sasterawan, ungkapan hati para penulis terkenal dengan pujuk rayu dan kemesraan. Semuanya adalah serupa dengan godaan nafsu seperti yang engkau alami sekarang.

Engkau ungkapkan dengan terbuka, lalu orang lain tahu dengan harapan agar mereka tidak mudah tertipu, sementara mereka menutupinya seperti bungkusan coklat yang ditutup dengan rapi dan indah. Engkau teguk air dari sumbernya terus ke mulutmu. Sedangkan yang lain minum dengan gelas terukir emas. Air di dalam gelas Abu Nawas yang pernah dimiliki oleh Kaisar Parsi, serupa dengan gelas dari mata air yang engkau minum.

Nafsu syahwat (seksual) yang engkau huraikan dalam suratmu itu adalah sama dengan cumbuan para penyair atau gambar-gambar para pelukis atau suara merdu penyanyi. Engkau sampaikan masalahmu dengan hati terbuka, sedang orang lain berusaha menyembunyikan isi hatinya. Ketahuilah puteraku, penyakit yang paling berbahaya adalah yang tersembunyi. Gejala yang timbul terhadap seorang seusiamu iaitu: Nafsu yang mulanya tenang, timbul dan bergelora. Perasaan menjadi tegang, dunia terasa berubah, manusia kelihatan berbeza, tidak lagi kelihatan wanita dalam keadaan sebenarnya, iaitu manusia yang tercipta daripada daging dan darah, yang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Baginya, wanita adalah segalanya, tumpuan harapan dan cita-citanya. Wanita dipuja-puja, dijadikan makhluk idaman, tanpa sedikitpun ada kekurangan dan kelemahan. Indah... menarik… menawan... Sempurna.. seperti indahnya patung buatan pengukir perkenal.

Patung bagi seorang penyembah berhala adalah Tuhan sedangkan wanita bagi pemuda yang dalam mabuk cinta adalah berhala khayalan. Memang, kejadian seperti itu wajar dan dapat diterima akal. Tetapi yang menjadi tidak wajar dan tidak masuk akal ialah jika seseorang remaja yang berusia 15 tahun sudah dilanda gelojak seperti itu padahal anak seusia itu masih perlu belajar dan bersekolah sehingga…. Ya, kira-kira dua puluh lima tahun. Lalu, apakah yang patut dilakukannya selama lebih kurang sepuluh tahun itu? Di mana pada masa-masa itu gelojak seksual datang bertubi-tubi, membara dan membakarnya? Apakah ini satu cabaran?Sekiranya kita kembali dan berpeganag pada sunatullah dan tabiat nafsu, ubatnya ialah... BERKAHWIN !!!

Peraturan dan budaya masyarakat atau bimbingan ilmu pengetahuan memberi 3 pilihan kepada kita sebagai jalan keluarnya. Ketiga-tiganya buruk, kecuali yang keempat, iaitu jalan yang diberikan Allah, iaitu... BERKAHWIN !!!

Ketiga-tiga alternatif tersebut adalah:

Pertama: Menuruti fitrah dan bayangan impian nafsu syahwat. Selalu mengisi fikiran dengan gambar-gambar lucah, sama ada menerusi filem, cerita kotor, gambar dan potret perempuan telanjang. Apa yang dikhayalkan, dilihat, dibaca dan didengar ialah wanita yang tidak senonoh. Kesemua itu dapat dilihat setiap waktu. Bangun tidur kelihatan di dinding kamar, membaca buku pelajaran, terpapar di meja, pendek kata di setiap kegiatan, sama ada di alam sedar ataupun mimpi. Cara untuk melupakan jalan seperti ini bukan sahaja tidak berjaya, tetapi justeru akan membayangi dan menganggu fikiran, sehingga akan merosakkan saraf dan mengakibatkan gila atau putus asa.

Kedua: Melakukan masturbasi (istimnaa). Kebiasaan buruk ini merupakan yang paling ringan dari alternatif ketiga. Cara masturbasi ini apabila dilakukan berlebih-lebihan akan mengganggu
keseimbangan jiwa, timbul perasaan sedih, tubuh lemah, mudah sakit, kelihatan tua sebelum waktunya, murung, muka pucat, menyendiri, menjauhkan diri dari pergaulan masyarakat, malu bertemu orang, takut risiko hidup, menghindari setiap tanggungjawab. Sesungguhnya dia mati sebelum mati.

Ketiga: Menimba dari sumur dosa dan merasakan kelazatan dari yang haram, meniti jalan sesat, menjadi pelanggan rumah-rumah pelacuran, merosakkan kesihatan, meruntuhkan kepemudaannya dan agamanya, merobek-robek baju agamanya sekadar untuk ditukar dengan kenikmatan yang sebentar sahaja dirasakan. Apabila anda terus hidup dalam dunia perzinaan, sehingga menyebabkan anda diberhentikan sekolah atau anda kehilangan pekerjaan dan jawatan, kehilangan ilmu pengetahuan yang anda cita-citakan, maka ini bererti anda tidak lagi mempunyai daya kemampuan, kekuatan dan keghairahan untuk bekerja secara bebas.

Puteraku,

jangan engkau kira bahawa sekali berzina kemudian engkau akan berhenti, puas dan kenyang. Tidak! Sekali engkau berhubung dengan wanita, engkau akan berusaha dengan apa-apa carapun untuk mendapatkannya.Andainya engkau mampu membayar harga wanita, walau berapa pun harganya, kerana harta kekuasaanmu, apakah tubuhmu mampu melakukannya? Apakah kesihatan dan kekuatan tubuhmu yang mempunyai batasan itu akan mampu menuruti nafsu syahwat yang buas dan besar? Kita pernah mengenali jaguh-jaguh sukan berkaliber dunia, atlit olahraga, penggusti, pemain bola sepak atau lain-lain lagi. Tetapi, oleh kerana mereka menuruti dorongan nafsu syahwat, akhirnya turunlah prestasinya.

Suatu keajaiban dan hikmah kebijaksanaan Allah ialah memberi ganjaran bagi mereka yang beramal soleh dan berakhlak mulai iaitu diberikan kesihatan dan kesegaran tubuh. Sebaliknya, Allah memberikan hukuman bagi mereka yang melakukan perbuatan rendah dan kotor berupa kelemahan tubuh dan penyakit.

Kita dapat melihat, betapa ramai orang-orang yang usianya baru sekitar tiga puluhan, tetapi oleh kerana mereka banyak melakuakn perbuatan-perbuatan yang membawa kerugian padanya, kelihatan fizikal dan wajahnya seolah-olah berusia enam puluh tahun. Ada pepatah dari Barat: "Barangsiapa memelihara usia mudanya, maka ia akan terpelihara pada usia tuanya."Apabila manusia dibiarkan hidup sesuai dengan fitrahnya tanpa digoda dan diransang oleh filem lucah, gambar wanita telanjang dan pelacuran, pasti nafsu syahwatnya akan dapat dibatasi, misalnya sekali dua sahaja sebulan.

Menurut penyelidikan, bahawa haiwan (sama seperti manusia) semakin tinggi tahap kemajuannya, semakin berkurang nafsu bersetubuhnya dan semakin lama pula masa kehamilannya. Binatang seperti ayam, bersetubuh setiap hari, kerana masa bertelurnya juga setiap hari. Tetapi kucing (dari jenis haiwan menyusu) bersetubuh beberapa kali saja dalam setahun, kerana bilangan kehamilannya hanya sekali atau dua kali dalam setahun. Biasanya, musim kucing hamil pada bulan Februari. Manusia lebih tinggi dan maju daripada kucing, tetapi kenapa manusia bersetubuh terus menerus tanpa musim? Setahun penuh tanpa mengenal batasan waktu.

Persoalanya kenapa? Sebabnya ialah manusia menghadapi godaan dan rayuan yang selalu mengganggu. Malapetaka bagi manusia ini memang sengaja dibuat oleh mereka iaitu pengikut-pengikut iblis dengan pelbagai cara. Para wanita diperhiaskan, disuruhnya untuk memakai pakaian yang terdedah dan separuh bogel. Bercampur dan bergaul bebas atas nama kemajuan, kemodenan dan akhirnya melakukan seks bebas. Mereka menangani dan menguruskan kaum wanita serupa seperti pedagang kambing. Kambing-kambing dipelihara dan diberi makanan terpilih supaya gemuk, dengan tujuan… disembelih.

Para penganjur pergaulan bebas menyebarkan idea-idea lucah dengan penampilan yang sama sekali tidak sopan dan biadap. Mereka berjaya memasuki sekolah dengan model pakaian separuh telanjang iaitu ketika siswa-siswi bersukan atau bersenam. Berpakaian dengan berseluar pendek dan berbaju ketat. Selain itu memberi contoh menerusi para pelancong yang begitu berani melepaskan pakaian di pantai-pantai. Mereka telah berusaha sejak sekian lama, berjalan dengan perlahan, lancar, penuh kesabaran dan sistematik. Akhirnya pesanan-pesanan iblis disambut dan dilaksanakan. Liberalisasi seks menerusi video sudah sampai ke tahap mengkhuatirkan dan terlepas daripada kawalan.

Justeru benar-benar merupakan ancaman serius kepada kehidupan pelajar dan remaja. Apabila Qosim Amir, iaitu tokoh penganjuran pergaulan bebas bangkit dari kuburnya, pasti akan kehairanan melihat segala perubahan ini. Sebab yang dikehendakinya bukanlah kebebasan seperti sekarang.

Puteraku…

aku berani menyatakan dengan pasti kepadamu, bahawa masalah seks pada hakikatnya adalah masalah yang lebih ringan dan lebih mudah dari apa yang engkau gambarkan. Masalah seks yang engkau bicarakan dan besar-besarkan, sebenarnya lebih kecil dari yang engkau bayangkan. Malah apa yang engkau bicarakan dan engkau bahaskan itu adalah lebih besar dari kenyataan. Apabila kita renungkan masalah syahwat ini dengan fikiran yang tenang, dengan akal yang sihat dan bukan dengan dorongan emosi dan nafsu syahwat itu sendiri, tentu pandangan kita tidak akan jauh terkeliru.

Rayuan tidak akan mampu dan berjaya tanpa ajakan dan dorongan kawan yang jahat. Dia akan menuntun, menunjukkan jalan, memandu kenderaan, kemudian membukakan pintunya sehingga engkau berada di tempat yang terkutuk.

Wahai Puteraku, semua ini adalah penyakit. Tetapi apakah ubatnya? Ubat mujarab yang dapat menyembuhkannya ialah kembali kepada sunnah Allah dan Ketetapan-ketetapan ajaran-Nya.

Allah tidak akan melarang atau mengharamkan sesuatu, kecuali digantinya dengan yang lebih baik.

Allah haramkan riba, tetapi digantikannya dengan perniagaan.
Allah mengharamkan zina, digantikannya dengan pernikahan dan perkahwinan.

Jadi, ubat penyembuh dari penyakit itu ialah perkahwinan! Inilah cara yang halal dan satu-satunya jalan menuju kebaikan. Saya menyarankan, agar organisasi sosial kemasyarakatan Islam atau apa-apa lembaga pun yang menguruskan umat Islam agar membentuk usaha baru yang berkaitan dengan masalah perkahwinan. Wadah itu bertanggungjawab menganjur, mengajak dan memberi kemudahan kepada para pemuda untuk berkahwin. Puteraku, apabila engkau tidak mampu untuk bernikah (kerana alasan-alasan tertentu) dan engkau sukar mengelak diri dari perbuatan kotor, maka....

tingkatkan jiwa, akal, hati dan jasmani supaya lebih dekat lagi kepada Allah.

Lebih tekun beribadah, menyibukkan diri dengan pekerjaan dan keterampilan, bersukan, bermuzik atau perkara-perkara yang lain.

Resepi yang kedua ini bersifat alternatif, tetapi cukup ampuh, kuat dan bermanfaat sebagai pertahanan sementara. Manusia pasti suka dan cinta pada dirinya. Kalau dia menghadap cermin, melihat tubuhnya yang kelihatan seperti atlit, tentunya tidak mudah untuk dikorbankan hanya kerana kerlingan mata wanita.

Puteraku,

sekiranya kita mendengar pandangan para perosak atau orang-orang yang lengah dan lalai, mereka mengatakan bahawa untuk memulihkan keruntuhan moral di dalam masyarakat ialah dengan membiasakan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Dengan cara itu keganasan nafsu syahwat dapat dilemahkan dan dipadamkan. Pelacuran secara sembunyi dapat dihapuskan dan dibuat tempat rasmi untuk pelacur yang diawasi. Ketahuilah sesungguhnya, alasan-alasan itu adalah kebodohan yang besar. Malah negara-negara bukan Islam yang telah mempraktikkan teori seperti itu, ternyata hasilnya ialah keruntuhan moral dan ransangan nafsu syahwat menjadi semakin luas.

Apabila penempatan pelacur diwartakan secara rasmi, maka akibatnya jumlah pelacur yang disediakan hendaklah sesuai dengan keperluan pemudanya, tempatnya perlu diperbesarkan agar dapat menampung pertemuan mereka. Sebagai contoh, di kota yang berpenduduk dua setengah juta orang, di mana jumlah pemudanya mencapai dua ratus ribu, maka paling tidak diperlukan lebih dari sepuluh ribu wanita yang bersedia dilacurkan. Untuk menjaga ‘keadilan’, apabila lelaki dibolehkan mendatangi tempat pelacuran tanpa memerlukan perkahwinan, maka bagaimanakah nasib para puterinya?

Omongan kosong puteraku. Demi Allah, semua itu kebohongan besar. Mereka tidak berbicara berdasarkan petunjuk akal. Mereka berbicara dengan watak dan fitrah hawa nafsu. Mereka tidak mengkehendaki pemulihan akhlak, moral dan budi pekerti. Mereka tidak mengkehendaki kemajuan kaum wanita. Mereka tidak ingin meningkatkan jiwa kesukanan dan tersebarnya olahraga. Mereka juga tidak mengharapkan kebaikan kehidupan kampus, suasana kemahasiswaan dan pelajar. Jika mereka berkata apa yang dilakukannya adalah untuk semua seperti di atas, semua itu sebenarnya hanyalah slogan kosong saja.Mereka mempunyai wawasan, setiap masa bersiap sedia dengan slogan-slogan baru untuk menjayakan program-programnya dengan mengelabui masyarakat.

Puteraku,

mereka mengkehendaki agar puteri-puteri dan adik-adikmu keluar rumah untuk dilihat auratnya, dinikmati oleh yang halal atau yang haram, boleh diajak keluar bersama untuk menemani ke mana saja dan apa acara pun, boleh menghiburkannya dengan menari atau di tempat tidur.Ramai orang tua tertipu. Mereka rela menerima pengorbanan puteri-puterinya hanya sekadar untuk mendapat gelaran moden. Apakah yang akan berlaku jika semua itu menjadi kenyataan wahai puteraku? Na’uzu billaahi minzaalik.

Puteraku,

jangan engkau ragu untuk menulis surat kepadaku apabila engkau anggap jawapan suratmu ini kurang memuaskan. Engkau jangan merasa malu jika memiliki nafsu syahwat yang membara. Itu adalah sebagai pemberian Allah kepadamu. Dan perkara itu sebagai petanda bahawa engkau mempunyai kekuatan tubuh dan keperkasaan sebagai pemuda.

Puteraku,

kesimpulan dari nasihatku ialah engkau patut segera berkahwin. Hanya itulah ubat yang paling ampuh. Apabila engkau belum mampu, engkau mesti menjaga diri dan takut pada larangan Allah. Engkau hendaklah tekun beribadah, menuntut ilmu, menyibukkan diri dengan pelbagai kegiatan sana ada kesenian, kesukanan, organisasi atau lain-lain lagi. Itulah jalan keluar dan ubat yang mengandungi kenikmatan.

Puteraku,
membahaskan pertanyaanmu akan menjadi sangat panjang. Hanya inilah sekadar untuk memenuhi waktu, memanfaatkan kesempatan dalam memberi jawapan. Jika engkau masih belum puas, insyaAllah pada penerbitan buku yang lain akan aku huraikan dengan lebih mendalam.

Syeikh Ali Thantawi::

YA SHABAB ::::
Langkahmu Perlu Difikirkan ::::
Suatu Jawapan Dalam Hidup Ini ::::
Tempuh Kebenaran :

Cita Kami Hidup Mulia Atau Syahid Mendapat Syurga

Semoga buku kecil hasil curahan pengalaman murni Sheikh Ali Thantawi ini dapat meredah lautan cabaran di celah liku-liku kehidupan. Apakah yang kita cari selain kemurnian hidup yang sentiasa menjurus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t.

Wahai rakan-rakan yang dikasihi sekalian, apakah tidak ingin kita menyumbang untuk memadamkan bara-bara kemurkaan Allah dan unsur-unsur keruntuhan masyarakat?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home